Pemanis bukan gula tidak bantu kurangkan lemak badan - WHO

Bernama
Mei 16, 2023 13:00 MYT
Penggunaan pemanis bukan gula dengan tujuan menurunkan berat badan boleh meningkatkan risiko diabetes tahap 2, penyakit kardiovaskular dan kematian pada orang dewasa. -Gambar hiasan
WASHINGTON: Pemanis bukan gula (NSS) tidak memberikan sebarang faedah jangka panjang untuk orang dewasa atau kanak-kanak yang ingin mengurangkan lemak badan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam garis panduan baharu yang dikeluarkan pada Isnin.
WHO mencadangkan orang ramai mengelak daripada menggunakan NSS untuk mengawal berat badan atau mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit, lapor United Press International (UPI).
Penggunaan pemanis bukan gula dengan tujuan menurunkan berat badan juga boleh meningkatkan risiko diabetes tahap 2, penyakit kardiovaskular dan kematian pada orang dewasa.
Syor WHO itu terpakai kepada semua kecuali orang dewasa yang sudah menghidap diabetes. Garis panduan itu juga merangkumi kebanyakan pengganti gula termasuk aspartam, stevia dan derivatif stevia.
"Menggantikan gula dengan NSS tidak membantu mengawal berat badan dalam jangka panjang.
"Orang ramai perlu mempertimbangkan cara lain untuk mengurangkan pengambilan gula, seperti mengambil makanan dengan gula semula jadi, seperti buah-buahan atau makanan dan minuman tanpa gula.
"NSS bukanlah faktor pemakanan yang penting dan tidak mempunyai nilai pemakanan.
"Orang ramai perlu mengurangkan kemanisan diet sama sekali, bermula pada awal kehidupan, untuk meningkatkan kesihatan mereka," kata Pengarah WHO untuk Pemakanan dan Keselamatan Makanan Francesco Branca dalam satu kenyataan.
Cadangan itu ketika ini dinilai sebagai sebagai bersyarat dan tidak terpakai kepada produk seperti ubat gigi dan krim kulit.
WHO sedang mengeluarkan satu siri garis panduan dan cadangan pemakanan untuk mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia.
Kajian 2019 oleh penyelidik Jerman mendapati hanya bukti lemah menunjukkan pemanis tanpa kalori memberikan manfaat kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang ingin menurunkan berat badan.
-- BERNAMA
#Pemanis bukan gula #NSS #kurangkan lemak badan #WHO
;