Pemandu van didakwa sebabkan kematian menerusi tindakan melulu

Bernama
Mac 13, 2017 10:05 MYT
Kemalangan pada Sabtu itu berlaku kira-kira 3.30 petang Sabtu di BKE menghala Woodlands selepas susur keluar Lebuh Raya Seletar (SLE). - Foto Ihsan Pembaca
Pemandu van yang merempuh sembilan motosikal di Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) Sabtu lepas dihadapkan di mahkamah Singapura hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian menerusi tindakan melulu.
Portal TODAYonline.com melaporkan Koh Boon Ping, 24 yang menghadapi dua pertuduhan, didakwa gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga menyebabkan kematian rakyat Malaysia Loke Whay Mam, 50 dan Lim Chun Hong, 34.
Kemalangan berlaku kira-kira 3.30 petang Sabtu di BKE menghala Woodlands selepas susur keluar Lebuh Raya Seletar (SLE).
Jika disabitkan kesalahan, Koh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan, demikian menurut laporan portal itu.
Laporan menyebut tiada pengakuan direkodkan daripada Koh kerana polis masih memerlukan masa untuk menyemak semula kes yang akan disebut semula pada 27 Mac itu.
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin S$15,000 (S$1=RM3.14). -- Bernama
#kemalangan #laman sosial #mangsa #Nahas #rakyat Malaysia #Singapura