Pemandu Uber parah diserang di Kenya, kenderaan dibakar
Agensi
Februari 22, 2016 22:06 MYT
Februari 22, 2016 22:06 MYT
Empat lelaki menyerang seorang pemandu kereta Uber dan membakar keretanya di ibu negara Kenya, kata polis pada Isnin, dalam insiden terbaru kemarahan yang memuncak terjhadap pemandu perkhidmatan pengangkutan awam persendirian itu di negara Afrika.
Pemandu Uber di seluruh dunia berdepan ancaman dan protes daripada pengendali teksi biasa, yang mendakwa tambang lebih murah yang dikenakan Uber menjejaskan pendapatan mereka, lapor Reuters.
Seorang pegawai polis Nairobi Japheth Koome, memberitahu kumpulan lelaki itu menyerang pemandu Uber berkenaan pada Ahad dan menuang petrol ke keretanya lantas dibakar.
“Saya percaya polis akan dapat menangkap mereka berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kenderaan mereka. Kami mengambil serius kes seumpama ini,” ujarnya.
Tambah Koome, pemandu Uber itu berjaya melepaskan diri namun mengalami kecederaan teruk.
Berhubung insiden itu, pihak Uber berkata akan memberikan sokongan penuh kepada pemandunya itu dan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Uber memulakan operasi di Kenya pada awal tahun 2015, dan berjaya menarik perhatian pelanggan yang selama ini tidak senang dengan tambang yang mahal dan kaedah tawar-menawar harga yang menyusahkan.
Namun awal bulan ini, para pemandu teksi biasa mengancam akan melumpuhkan system pengangkutan awam jika perkhidmatan Uber tidak diharamkan di Nairobi dalam tempoh tujuh hari.
Kerajaan bagaimanapun menolak desakan mereka dan member amaran sebarang tindakan ganas akan ditahan di bawah undang-undang.