Pemandu treler dihukum penjara 110 tahun sebabkan empat kematian dalam nahas ngeri
Bernama
Disember 14, 2021 14:23 MYT
Disember 14, 2021 14:23 MYT
DENVER: Seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun pada Isnin kerana menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya di Colorado pada 2019.
Rogel Aguilera-Mederos didapati bersalah pada Oktober atas lebih 20 pertuduhan, termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan nahas ngeri itu.
Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian daripada berlaku.
Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, lapor United Press International (UPI).
KCNC-TV di Denver melaporkan, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.
Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang -- Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.
Hakim A. Bruce Jones berkata di bawah undang-undang negeri, beliau perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.
Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan.
-- BERNAMA