Pemandu p-hailing Indonesia mogok

Astro Awani
Ogos 30, 2024 08:15 MYT
Pemandu p-hailing mahu syarikat perkhidmatan itu meningkatkan upah setiap perjalanan yang kini ditetapkan pada kadar 80 peratus. - Foto REUTERS
JAKARTA: Lebih 1,000 pemandu p-hailing mogok di beberapa bandar di Indonesia pada Khamis bagi membantah kadar bayaran rendah dan menggesa kerajaan memberi lebih banyak perlindungan terhadap amalan tidak adil oleh syarikat perkhidmatan berkenaan.
Mereka yang memakai jaket hijau berkumpul di luar Kementerian Komunikasi; berhampiran pejabat Goto dan Grab.
Wakil Gabungan Teksi Dalam Talian Nasional, Andi Kristiyanto yang mengatur protes itu berkata, pemandu mahu syarikat perkhidmatan itu meningkatkan upah setiap perjalanan yang kini ditetapkan pada kadar 80 peratus.
Mereka juga menggesa kerajaan memberikan status khas terhadap terma pekerjaan itu supaya mereka mempunyai kuasa tawar-menawar lebih besar bagi kadar tambang.
Perkhidmatan p-hailing adalah mod pengangkutan popular di seluruh Indonesia, termasuk di Jakarta yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas terburuk di dunia.
Protes itu menyebabkan beberapa aduan mengenai kelewatan perkhidmatan di media sosial.
Jurucakap Gojek dimiliki Goto berkata, operasinya berjalan seperti biasa dan syarikat terbuka kepada maklum balas daripada pemandu.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Awam Grab Indonesia berkata tarif Grab ditetapkan untuk memastikan permintaan stabil bagi perkhidmatannya, selain mengambil kira pendapatan pemandu.
Syarikat berpangkalan di Singapura itu tidak memberi maklum balas sama ada mogok itu mengganggu operasinya atau tidak.
#p-hailing #mogok #GoTo #grab