'Pemandu hantu' ganggu keyakinan pengguna Uber di China

Madiha Abdullah
September 20, 2016 12:42 MYT
Pemandu 'hantu' ini dipercayai menggunakan profil palsu./Foto Facebook CCTV News
TIDAK boleh dinafikan, perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti GrabCar dan Uber kini semakin mendapat tempat di banyak negara di seluruh dunia.
Jika di Malaysia, isu perkhidmatan sedemikian dipalit krisis dengan pengusaha teksi, tetapi di China lain pula ceritanya.
Kecoh di negara itu kini ialah kisah ghost cabs, atau teksi hantu, yang membabitkan perkhidmatan Uber.
Laporan CCTV News menyebut, ramai pengguna berasa hairan apabila tempahan yang dibuat melalui aplikasi di telefon pintar menunjukkan tanda ia diterima, namun pemandu terbabit tidak hadir untuk menjemput mereka malah tidak cuba menghubungi mereka semula.
Laporan itu juga menyebut, pengguna juga agak pelik apabila tempahan mereka diterima oleh pemandu dengan 'rupa yang menyeramkan dan rating yang tidak memuaskan'.
Lebih menghairankan, pemandu-pemandu berkenaan juga akan memulakan caj perjalanan, walaupun belum tiba untuk menjemput pengguna yang membuat tempahan.
Ada pihak mengandaikan bahawa situasi tersebut dirancang oleh sesetengah pemandu yang mahu mendapatkan bonus daripada Uber, menggunakan sejenis program tidak diperakui.
Lantaran itu, ramai pihak mencadangkan agar pihak berkuasa mewujudkan satu sistem lebih teratur, di mana semua pendaftaran sistem aplikasi di China perlu menggunakan nama sebenar, untuk mengelakkan sebarang penipuan.
#aplikasi #China #khidmat perkongsian kereta #Uber
;