Pemakaman Ratu Elizabeth II: Pihak keselamatan waspada sentimen benci monarki
Madiha Abdullah
September 18, 2022 23:02 MYT
September 18, 2022 23:02 MYT
KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan menjadi perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II, pada Isnin.
Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Prof Mizan Aslan berkata, sentimen penolakan terhadap monarki merupakan cabaran dalam usaha mengimbangi aspek keselamatan dan prestij istiadat tersebut.
"Kita harus ingat bahawa sentimen tidak senang dengan institusi diraja terutama selepas agenda Brexit dan kemangkatan bonda Ratu Elizabeth II pada 2002, sudah ada sentimen menolak monarki, sudah ada unsur ektremis masuk ke dalam masyarakat, menghasut untuk membenci monarki.
"Sejak itu polis London sudah melakukan persiapan rapi seperti yang kita dapat lihat, tangkapan dibuat membabitkan golongan yang menentang dan menimbulkan kekecohan.
"Apa yang dibimbangi ialah jika manifestasi kebencian itu akan diterjemahkan dalam bentuk ancaman atau tindakan seperti menikam atau menggunakan kenderaan untuk merempuh orang ramai, dan mungkin juga pergi sejauh melakukan pengeboman," katanya ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan, pada Ahad.
Jelasnya lagi, biarpun sentimen kesedihan lebih mendominasi masyarakat London ketika ini, faktanya, ekstremisme tidak memerlukan penglibatan ramai, sebaliknya cukup sekadar seorang yang melakukannya untuk menimbulkan kekecohan.
"Saya boleh katakan pada ketika ini, sentimen mana yang lebih dominan agak subjektif. Ini kerana ada dua kelompok berbeza malah sentimen menolak juga telah berpanjangan kepada negara Komanwel dan dunia ketiga.
"Ditambah pula dengan suasana sedih, ia menimbulkan situasi mengelirukan masyarakat di London tetapi rata-rata masyarakat lebih cenderung ke arah kesedihan.
'Walau bagaimanapun, sentimen menolak itu tidak boleh dinafikan dan dalam aspek ekstremisme, cukup sekadar seorang yang melakukan, ia boleh timbulkan kekecohan jadi ini yang perlu diberi perhatian oleh pihak keselamatan," ujarnya.
Istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II akan berlangsung pada Isnin di Westminster Abbey.
Ia akan menjadi antara perhimpunan terbesar yang dianjurkan di bandaraya berkenaan selama beberapa dekad.
Lebih 500 pemimpin dan kerabat diraja seluruh dunia dijangka hadir.