Pemakaian hijab wajib di Iran di sebalik 'serangan yogurt' ke atas wanita - Presiden
Agensi
April 2, 2023 08:30 MYT
April 2, 2023 08:30 MYT
PRESIDEN Ebrahim Raisi menegaskan, pemakaian hijab adalah ‘bersandarkan ketetapan undang-undang’ di Iran selepas video memaparkan seorang lelaki mencampakkan ‘yogurt’ ke atas dua wanita yang tidak mengenakannya di sebuah kedai di kota Syiah itu.
Portal berita Aljazeeera melaporkan, berlaku peningkatan jumlah kaum wanita yang tidak mengendahkan peraturan kerajaan itu dengan melepaskan pemakaian hijab selepas tindakan protes dilakukan di seluruh negara berkenaan susulan kematian seorang wanita dari puak Kurdish berusia 22 tahun pada September lalu.
Kematian mangsa itu berkait rapat dengan tindakan salah laku moral pihak berkuasa yang didakwa menyalah guna undang-undang pemakaian hijab.
Dalam insiden terbaharu pula, video berkenaan memaparkan dua orang wanita yang tidak berhijab memasuki sebuah kedai.
Tidak lama selepas itu, seorang lelaki mendekati kedua-dua wanita tersebut dan bercakap sesama mereka.
Lelaki berkenaan, kemudiannya dilihat memegang sebuah bekas besar berisi yogurt dan mencampakkannya ke atas kepala kedua-dua wanita tersebut.
Pihak berkuasa tempatan di kota Mashhad mengarahkan kedua-dua wanita tersebut, ibu dan anak ditahan, berikutan melakukan ‘kesalahan’ melanggar undang-undang Iran di bawah etika pemakaian kaum wanita, lapor media pada Sabtu.
Dalam masa sama, pihak berkuasa juga mengeluarkan waran tangkapan ke atas lelaki tersebut atas dakwaan ‘berkelakuan tidak senonoh' dan ‘mengganggu peraturan arahan’, kata Mizan Online iaitu portal perundangan.
Sekalipun sedia maklum risiko tidak mengendahkan kot etika berpakaian, kaum wanita masih lagi kelihatan bebas tidak mengenakan hijab di pusat membeli-belah, restoran, kedai serta jalanan di seluruh Iran.
Bahkan, video yang memaparkan kaum wanita tidak berhjab tidak mengendahkan arahan polis juga banyak tular di media sosial.
Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen, Raisi berkata: “Sekiranya terdapat sebilangan orang yang tidak mempercayai (pemakaian hijab)… adalah baik untuk memujuk mereka. Namun, apa yang paling penting di sini ialah terdapat keperluan dari aspek undang-undang… dan (pemakaian) hijab adalah tertakluk pada undang-undang.”
Undang-undang revolusi Iran 1979 memperuntukan kaum wanita tertakluk pada peraturan menutup rambut dan mengenakan pakaian labuh serta mengelakkan baju yang ketat supaya tidak mendedahkan bentuk tubuh mereka.
Selama ini, mana-mana wanita yang tidak mengendahkan peraturan itu akan berdepan tindakan kecaman secara umum, didenda atau ditahan pihak berkuasa.