Pemain bola sepak Turki tekup anak disyaki COVID-19 dengan bantal hingga mati

Najmi Syahiran Mamat
Mei 15, 2020 18:12 MYT
Toktas mendakwa bahawa dia tidak tahu mengapa dia tidak menyayangi anaknya, Kasim. - Gambar AP
Hanya selepas 11 hari kematian anaknya, seorang pemain bola sepak Turki tampil membuat pengakuan kepada polis bahawa dia dengan sengaja menekup kepala anaknya itu dengan bantal sehingga meninggal dunia.
Cevher Toktas, 32, dan anaknya Kasim sebelum ini dikuarantin selepas pihak hospital mengesyaki mereka berdua dijangkiti COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.
Toktas yang cuba menutup perbuatannya itu dilaporkan membawa Kasim ke Hospital Kanak-Kanak di bandar Bursa pada April kerana menunjukkan simptom kesukaran untuk bernafas dan demam.
Kasim, kemudiannya, dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) kerana dipercayai semakin sukar bernafas sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
Kematian mangsa yang berusia lima tahun itu, bagaimanapun, tidak dapat dikesan pada awal siasatan dibuat walaupun ujian COVID-19 didapati negatif.
Menerusi pengakuan dibuat pemain untuk Liga Super Turki antara 2007 dan 2009 itu, dia melemaskan mangsa yang sedang meniarap dengan bantal selama 15 minit tanpa mengangkatnya.
“Kasim dalam keadaan meronta ketika itu sebelum saya memanggil doktor untuk datang dan membuat pemeriksaan ke atasnya yang mula tidak bergerak,” akuinya.
Dalam pada itu, Toktas juga mendakwa bahawa dia tidak pernah menyayangi Kasim sejak anaknya dilahirkan lagi.
“Saya tidak tahu mengapa saya tidak sayang anak saya. Alasan kukuh saya bertindak demikian hanyalah kerana saya bencikan dia,” kata Toktas lagi yang juga menafikan bahawa dia mengalami masalah kesihatan mental.
Pihak berkuasa dilaporkan ingin menggali semula kubur milik mangsa untuk tujuan bedah siasat.
#anak #anak mati #Bola sepak Turki #Bursa Turki #Cevher Toktas #Hospital #kematian #Liga Turki #meninggal dunia #Turki
;