Pelukis Mesir berganding bahu, kumpul dana buat kanak-kanak Palestin
Khairunnisa Kasnoon
Mei 28, 2021 08:38 MYT
Mei 28, 2021 08:38 MYT
KAHERAH: Puluhan pelukis Mesir berkumpul di sebuah galeri seni bagi mengumpul dana untuk kanak-kanak Palestin.
Sebanyak 95 keping lukisan 60 pelukis dipamerkan di galeri berkenaan.
Pengasas Galeri Art Talk, Faten Mostafa berkata, 60 peratus hasil seni yang dipamerkan dijual dalam tempoh tiga jam.
"Harga berbeza dari 500 pound Mesir (AS$31) hingga 500,000 pound Mesir (AS$31,000)," katanya.
Sebahagian daripada hasil penjualan pameran tersebut akan disalurkan ke Yayasan Kebudayaan Ghassan Kanafani.
"Sekurang-kuranganya ini yang kami mampu lakukan untuk membantu kanak-kanak di Palestin," tambanhnya lagi.
Pameran berkenaan berlangsung beberapa hari selepas gencatan senjata mengakhiri perang berdarah 11 hari antara tentera Zionis Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Perang itu mengorbankan lebih dari 250 orang, kebanyakannya rakyat Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar di Gaza.