Peluasan NATO bakal wujud kestabilan jangka panjang di rantau Barat Balkan
Bernama
September 1, 2023 09:50 MYT
September 1, 2023 09:50 MYT
NEW DELHI: Menteri Luar Macedonia Utara Bujar Osmani pada Khamis berkata peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan menawarkan kestabilan jangka panjang di rantau barat Balkan.
Bercakap pada mesyuarat kumpulan pemikir di New Delhi, Osmani menekankan mengenai cabaran baharu terhadap keselamatan Eropah itu susulan perang Rusia-Ukraine.
Beliau yang melihat NATO sebagai organisasi defensif, berkata kehadiran pertubuhan itu akan mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan dan kebolehramalan di barat Balkan.
Negara yang berada di rantau itu terdiri Albania, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Macedonia Utara dan Serbia.
Bosnia dan Herzegovina telah mengisytiharkan hasratnya untuk menyertai NATO.
"Peluasan NATO di barat Balkan akan memberikan kestabilan jangka panjang di rantau ini," kata Osmani.
Macedonia Utara menjadi ahli pakatan tentera itu pada Mac 2020, manakala Albania menyertainya pada 2009, diikuti Montenegro pada 2017.
Bagaimanapun, peluasan pakatan ke barat Balkan mendapat tentangan Rusia.
NATO, yang diwujudkan pada 1949, kini dianggotai 31 negara, dengan Finland menyertai pakatan itu tahun ini dan Sweden sedang dalam proses menyertainya.
-- BERNAMA