Peluang untuk pelan damai tipis
Astro Awani
Januari 9, 2013 07:21 MYT
Januari 9, 2013 07:21 MYT
Pertemuan berasingan antara Presiden Mesir, Mohammed Morsi dengan pemimpin Hamas dan Fatah di Kaherah pada Rabu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda persengketaan mereka akan berakhir.
Perkembangan terbaru ini dikhuatiri akan meranapkan impian kepada penyatuan semula Hamas-Fatah seperti yang dinyatakan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Pertemuan antara ketiga-tiga pemimpin itu bagi membincangkan jalan terbaik untuk melaksanakan pelan damai yang dipersetujui antara Hamas-Fatah di Kaherah pada 2011.
Usaha membawa ketiga-tiga pemimpin iaitu Morsi, Mahmoud dan Khaleed Mashaal untuk berbincang dalam sebuah bilik yang sama, gagal.
Mahmoud dikatakan enggan untuk menerima sebarang perjanjian yang akan memberikan Khaleed status sama seperti yang dimilikinya.
Seorang pegawai kanan Hamas di Gaza pula mendakwa Mahmoud cuba melengahkan pelan damai itu kerana masih mengharapkan rundingan damai dengan Israel dapat diteruskan.
Jurucakap kepada Presiden Morsi, Yasser Ali bagaimanapun memberi jaminan, Kaherah akan berusaha sedaya-upaya untuk menjayakan pelan damai itu.
Sementara itu, seorang penganalisis politik Hani Habib berpendapat, peluang untuk pelan damai berjaya adalah tipis.
Katanya, Hamas dan Fatah lebih selesa dengan keadaan ‘status-quo’ sedia ada.