Pelosi umum hasrat bertanding semula Kongres AS

Astro Awani
September 9, 2023 07:40 MYT
Pelosi berkata AS perlu ditunjukkan kepada dunia bahawa benderanya megah terus berkibar, dengan kebebasan dan keadilan untuk semua. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Bekas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, umum hasratnya untuk bertanding semula sebagai wakil California dalam Kongres pada penggal akan datang.
Serentak itu, wanita berusia 83 tahun yang dianggap sebagai antara individu paling berpengaruh di AS itu, memohon sokongan supaya mengundi beliau pada pemilihan nanti.
Katanya, AS perlu ditunjukkan kepada dunia bahawa benderanya megah terus berkibar, dengan kebebasan dan keadilan untuk semua.
Tambah Pelosi, itu juga menjadi sebab untuk beliau bertanding untuk pemilihan semula sekali gus memohon undi semua pihak yang relevan.
Pengumuman Pelosi mahu mendapatkan mandat untuk penggal selama empat tahun lagi dilihat menghangatkan lagi perdebatan di AS mengenai pemimpin berusia dalam arena politik.
Usia Presiden Joe Biden yang juga ahli parti Demokrat, sudah mencecah 80 tahun.
Manakala pesaingnya dari parti Republikan yang juga bekas Presiden, Donald Trump pula berumur 77 tahun.
Perdebatan yang timbul menjelang Pilihan Raya Presiden pada November 2024, antara lain menyentuh tentang kesan usia terhadap keupayaan mereka untuk memimpin negara.
Pada November tahun lalu, Pelosi berundur daripada jawatannya itu dengan menyatakan beliau mahu memberi laluan kepada generasi baharu.
#Nancy Pelosi #wakil California #pemilihan #kongres
;