Pelosi menang tipis, sekali lagi dipilih sebagai Speaker

Astro Awani
Januari 4, 2021 10:28 MYT
PELOSI: Keutamaan kami pada ketika ini adalah untuk meneruskan perjuangan menentang koronavirus dan kami akan menewaskannya. - REUTERS
NANCY Pelosi, wanita yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam sejarah politik Amerika Syarikat (AS), sekali lagi dipilih sebagai Speaker Dewan Perwakilan susulan menang tipis dalam pemilihan yang diadakan.
Pelosi, 80 tahun, yang memimpin partinya di Dewan sejak 2003 dan satu-satunya wanita dalam sejarah yang dipilih sebagai Speaker, mendapat 216 undi mengalahkan lawannya, Kevin McCarthy yang hanya meraih 209 undi.
“Biarpun tanggungjawab ini berat dan menakutkan, kami menerimanya seperti apa yang dilalui generasi kepimpinan sebelum ini,” kata Pelosi kepada Dewan ketika menerima penggal baharu dalam jawatannya.
“Keutamaan kami pada ketika ini adalah untuk meneruskan perjuangan melawan koronavirus dan kami akan menewaskannya,” katanya yang menerima tepukan gemuruh.
Beliau merujuk kepada 350,000 rakyat Amerika yang terkorban akibat COVID-19 dan jutaan lagi yang kehilangan pekerjaan dan punca pencarian.
Pemilihan Pelosi dijalankan 17 hari sebelum Presiden dipilih Joe Biden dilantik pada 20 Januari ini.
Bagaimanapun, terdapat masalah dan isu daripada pemerintahan Presiden Donald Trump yang perlu diselesaikan sejurus Biden mengambil alih.
Biarpun pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$900 bilion diluluskan Kongres AS, Biden dan ahli Demokrat lain menganggap langkah tersebut sebagai wang pendahuluan.
Mereka berkata, lebih bantuan diperlukan bagi meningkatkan usaha untuk memvaksinasi rakyatnya, mengekang penularan COVID-19 dan memulihkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas.
#Nancy Pelosi #Amerika Syarikat #Speaker Dewan Perwakilan #Kevin McCarthy #Joe Biden #Donald Trump #kongres AS #COVID-19 #menang tipis #pemilihan #koronavirus #Dewan Perwakilan #Speaker
;