Pelosi ke Taiwan: AS bantu Taiwan tingkatkan kerjasama, dialog antara Parlimen
Astro Awani
Ogos 3, 2022 11:45 MYT
Ogos 3, 2022 11:45 MYT
TAIPEI: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, mengadakan kunjungan hormat bersama Timbalan speaker parlimen Taiwan, Tsai Chi-chang di Taipei Rabu.
Pelosi menyifatkan pertemuan tersebut sebagai penghormatan besar dan menganggap Taiwan sebagai rakan sekutu.
Malah Pelosi ingin membantu Taiwan dalam meningkatkan kerjasama dan dialog antara parlimen serta mencari cara khusus untuk melakukannya bersama Taiwan.
"Menerusi kunjungan sebagai delegasi Kongres, terdapat tiga tujuan utama. Pertama adalah soal keselamatan, keselamatan buat rakyat kita dan keselamatan global.
"Kedua adalah hal ehwal ekonomi dan melabur sebanyak mungkin dan ketiga ialah tadbir urus. Dalam memastikan ketiga-tiga tujuan utama seperti ini dilaksanakan, kita ingin meningkatkan kerjasama dan dialog antara parlimen.
"Pihak kami sudah melakukan inisiatif tersebut semasa presiden mengemukakan inisiatif Asia Pasifik, yang disokong pentadbiran," katanya selepas pertemuan bersama Chi-chang.
Jelasnya lagi, dalam hal tersebut, pentadbiran AS mahu bekerjasama rapat dengan Taiwan.
Untuk rekod, Pelosi, pemimpin politik paling kanan Amerika Syarikat, menjejakkan kaki ke Taiwan dalam tempoh 25 tahun.
Pelosi sebelum ini bertegas lawatan ke Taipei adalah bagi menghormati komitmen Amerika Syarikat ke atas demokrasi negara itu.
Lawatan itu juga tidak bercanggah dengan dasar Amerika Syarikat.
Sebaik mendarat, media China melaporkan pesawat pejuang tenteranya sudah melintasi perairan Taiwan.
Laporan itu dinafikan pada awalnya, namun Taipei kemudian mengesahkan lebih 20 pesawat tentera China memasuki zon pertahan udaranya pada Selasa.