Pelombong terperangkap terpaksa tunggu 15 hari untuk diselamatkan
Agensi
Januari 22, 2021 15:20 MYT
Januari 22, 2021 15:20 MYT
QIXIA: Sekumpulan pekerja yang terperangkap dalam lombong emas bawah tanah di China sejak 10 Januari lalu mungkin perlu menunggu 15 hari lagi sebelum diselamatkan.
Menurut pihak berkuasa pada Khamis, operasi menyelamat terjejas akibat halangan dikesan di laluan keluar yang dirancang sebelum ini.
Seramai 22 pelombong terperangkap bawah tanah susulan letupan di lombong Hushan berhampiran bandar Qixia.
Seorang pekerja disahkan meninggal dunia manakala 11 yang lain disahkan hidup dengan baki 10 orang lagi tidak dapat dikesan.
Satu halangan besar dikesan 350 meter bawah tanah adalah lebih teruk daripada yang dijangka sebelum ini, kata pihak berkuasa.
Seramai 600 orang terlibat dalam operasi menyelamat dengan sebanyak 25 ambulan bersedia di lokasi kejadian serta petugas kesihatan seperti pakar bedah saraf, pakar trauma dan psikologi.
Lombong di China antara yang paling berbahaya di dunia dengan merekodkan 573 kematian pada 2020, menurut Pentadbiran Keselamatan Lombong Kebangsaan.