Pelik lembu berenang? Bukankah 'khinzir boleh terbang'!
Razak Chik
November 14, 2019 04:57 MYT
November 14, 2019 04:57 MYT
CUBA ingat kembali kenyataan seorang pembesar tempatan – tidak perlu sebut siapa – menyatakan terdapat khinzir merayau di Pulau Besar, setelah berenang merentasi Selat Melaka, dari sebuah pulau kepunyaan negara jiran?
Ramai yang mengherdik, mencemuh, kononnya ini kenyataan kurang cerdik.
Apa tidaknya – bukankah ada ungkapan 'khinzir terbang' (when pigs fly) yang sering digunakan sekiranya sesuatu perkhabaran terlalu menakjubkan untuk dipercayai?
Memang wajar jika kita fikir sejenak sebelum cepat menerima khabar berita. Kali ini, perkhabaran ala 'khinzir terbang' ini berpunca dari North Carolina, nun dari Amerika sana! Tiga ekor lembu dijumpai dalam keadaan selamat di Taman Negara Cape Lookout.
Pegawai pengawal pantai memberitahu akhbar tempatan Charlotte Observer, sebanyak 20 lembu dan 28 kuda liar mati korban Taufan Dorian yang jatuh dalam kategori Kelas 1.
Namun, tiga ekor lembu dari sebuah pulau bernama Cedar Island ditemui meragut rumput di Taman Negara Cape Lookout. Cedar Island dan Taman Negara Cape Lookout dipisahkan oleh perairan Core Sound, yang bermakna lembu tiga ekor itu terpaksa berenang ke sana!
Nasib trio lembu bertuah ini agak baik kerana ada kemungkinan arus laut berkemampuan menghanyutkan mana-mana perenang ke arah Lautan Atlantik!
Usaha sedang dirancang untuk memulangkan kembali trio 'lembu bertuah’ ini yang sudah diberi gelaran jolokan 'sea cows' (manatee).
Ini bukan pertama kali timbul cerita binatang terselamat dari maut akibat Taufan Dorian. Pada Oktober lalu, seekor anjing menjadi 'selebriti’ apabila ditemui selamat bawah timbunan runtuhan rumah.
Jadi, kalau di Pulau Besar ada khinzir, jangan cepat melatah – jika tidak terbang, mungkin pandai berenang?
#berenang
#Cedar Island
#hanyut
#khinzir
#korban
#kuda liar
#lembu
#North Carolina
#sea cows
#selamat
#Taman Negara Cape Lookout
#Taufan Dorian
#terbang