Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha menjangka tiada kesan terhadap dasar ekonomi negara itu setelah peletakan jawatan Menteri Kewangan yang baru dilantik, Predee Daochai.

Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan berkata pengganti Predee akan diumumkan kelak.

"Kekosongan jawatan (menteri kewangan) tidak akan memberi kesan pada dasar ekonomi. Saya masih menjadi ketua pasukan ekonomi. Ada timbalan menteri untuk menjalankan tugas," katanya pada sidang media yang diadakan di Rumah Kerajaan, di sini, hari ini.

Prayuth diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Predee yang memegang jawatan itu tidak sampai sebulan.

Semalam, Predee, bekas presiden bersama Kasikornbank, mengemukakan peletakan jawatannya.

Ahli perbankan berumur 61 itu dipilih sebagai menteri kewangan baharu pada 6 Ogos lepas dan menyertai kabinet Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada 12 Ogos.

Peletakan jawatan beliau berkuat kuasa hari ini. Bagaimanapun, tidak jelas sebab Predee meletak jawatan namun media tempatan mengatakan beliau berundur atas sebab kesihatan.

Peletakan jawatan Predee menambah ketidaktentuan usaha Thailand memulihkan ekonomi negara itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Prayuth menggesa orang ramai agar mempercayai kerajaan yang dipimpinnya.

-- BERNAMA