Pelarian Rohingya: Bangladesh mohon kerjasama China

Astro Awani
Ogos 8, 2022 09:30 MYT
Menteri Luar China, Wang Yi bersama Menteri Luar Bangladesh AK Abdul Momen selepas menandatangan beberapa perjanjian di Dhaka. - Foto AP
DHAKA: Bangladesh meminta kerjasama China bagi menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.
Hasrat itu disuarakan semasa lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Bangladesh.
Lawatan itu menjanjikan hubungan perdagangan lebih baik, pelaburan dan sokongan bagi membangunkan infrastrutur di negara-negara Asia Selatan.
China telah menggunakan pengaruhnya di Myanmar untuk menjadi perantara Perjanjian November 2017 bagi menghantar pulang kira-kira 700,000 pelarian Rohingya susulan penindasan di Myanmar pada Ogos tahun yang sama.
Walaupun ada cubaan untuk menghantar mereka pulang, pelarian Rohingya enggan berbuat demikian kerana bimbang bahaya di Myanmar yang diburukkan lagi oleh pengambilalihan tentera tahun lalu.
Wang tiba di Dhaka pada petang Sabtu dan bertemu dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina dan Menteri Luar AK Abdul Momen.
Bangladesh mempunyai hubungan kukuh dengan China yang merupakan rakan perdagangan utama kebanyakannya untuk bahan mentah.
Tetapi mengekalkan hubungan rapat dengan Beijing adalah mencabar bagi Bangladesh, yang juga mengimbangi hubungan diplomatik dan perdagangan dengan India dan Amerika Syarikat.
Di ketika mana berlaku ketegangan baru-baru ini antara China dan Taiwan, Bangladesh mengeluarkan kenyataan mengulangi sokongannya terhadap dasar "Satu China".
Pada Ahad, Bangladesh dan China menandatangani atau memperbaharui empat perjanjian dan memorandum persefahaman mengenai pengurusan bencana, infrastruktur dan pertukaran budaya.
#pelarian #Rohingya #penindasan #Asia Selatan
;