Pelapor Khas PBB label rendah moral negara yang raikan tebusan Israel
Astro Awani
Jun 9, 2024 09:45 MYT
Jun 9, 2024 09:45 MYT
PELAPOR Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Balakrishnan Rajagopal menyelar tindakan negara-negara yang mengucap tahniah kepada Israel di atas operasi menyelamatkan dan mengembalikan empat tawanannya sebagai satu tindakan yang hipokrit.
Dalam catatannya di platform X, Balakrishnan berkata, negara-negara ini meraikan kejayaan menyelamatkan tawanan tetapi tidak mengulas apa-apa tentang ratusan rakyat Palestin yang terbunuh dalam misi ketenteraan berkenaan.
“Negara-negara yang meraikan pembebasan empat tebusan Israel tanpa berkata apa-apa tentang ratusan rakyat Palestin yang dibunuh dan ribuan yang ditahan dalam tahanan Israel, adalah negara yang telah kehilangan kredibiliti moral selama beberapa generasi dan tidak layak untuk berada dalam mana-mana badan hak asasi manusia PBB,” kata Balakrishnan.
Pada Sabtu. sekurang-kurangnya 210 rakyat Palestin terbunuh dan kira-kira 400 cedera dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Gaza dalam misi Israel menyelamatkan tawanan.
Agensi berita rasmi WAFA Palestin berkata bahawa jet pejuang secara intensif melakukan pengeboman artileri ganas di kawasan kejiranan Al-Zaytoun dan Tal Al-Hawa di bandar Gaza, serta di Kem Nuseirat, Al-Maghazi dan Al-Bureij.