Pelantikan Budi Arie sebagai Menteri Luar Indonesia amalan biasa - Kementerian

Bernama
Januari 22, 2024 06:30 MYT
Pada 19 Jan, Presiden Joko Widodo melantik Budi (gambar) sebagai pemangku menteri luar semasa Retno melakukan perjalanan rasmi dua hari yang berakhir 22 Jan. - Foto KOMINFO
JAKARTA: Pelantikan Menteri Komunikasi dan Informasi Budi Arie Setiadi sebagai pemangku Menteri Luar semasa ketiadaan Retno Marsudi merupakan amalan biasa dalam pentadbiran.
Ini sering berlaku apabila seorang menteri menjalankan tugas rasmi di luar negara, malah Retno sebelum ini pernah dilantik sebagai pemangku Menteri Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, menurut Kementerian Luar.
"Menteri, Retno, kini berada di New York untuk menghadiri debat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Gaza dan mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa rakan sejawatannya," kata jurucakap kementerian itu, Lalu Muhammad Iqbal, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Timbalan Menteri Luar Pahala Mansury berada di Kampala, Uganda, mewakili Indonesia untuk mesyuarat Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.
Sementara itu, Penyelaras Staf Presiden Ari Dwipayana berkata kuasa membuat keputusan pemangkuan menteri biasanya diputuskan di peringkat menteri.
Pada 19 Jan, Presiden Joko Widodo melantik Budi sebagai pemangku menteri luar semasa Retno melakukan perjalanan rasmi dua hari yang berakhir semalam (22 Jan).
Pelantikan Budi mencetus perbincangan umum berikutan spekulasi beberapa menteri Kabinet bercadang untuk meletakkan jawatan, termasuk Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.
Bagaimanapun, Joko Widodo pada Sabtu menafikannya sambil menegaskan bahawa Kabinetnya menjalankan tugas seperti biasa.
-- BERNAMA
#Indonesia #Budi Arie Setiadi #pemangku Menteri Luar Indonesia #Retno Marsudi
;