Pelanggan terkejut jumpa jari manusia dalam sayur lodeh

Faida Rahim
Disember 12, 2022 20:02 MYT
Polis kemudian bekerjasama dengan pasukan perubatan untuk memeriksa potongan jari berkenaan.- KOMPAS.COM
JAKARTA: Seorang penduduk kampung di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia dilaporkan menemui potongan jari manusia di dalam sayur lodeh yang dibeli rakan-rakannya di sebuah warung.
Memetik laporan Kompas, susulan penemuan itu penduduk terbabit Petrus Watu, datang ke Ibu Pejabat Polis bahagian Tasifeto Timur (Mapolsek) membuat aduan mengenai kejadian.
Ketua Jabatan Hubungan Masyarakat Polis NTT, Komisioner Ariasandy memaklumkan polis menerima aduan daripada Petrus yang terkejut ketika menikmati sayur lodeh itu.
"Dion Klau dan Isto Foa (rakan pengadu) datang membeli tauhu lodeh di warung makan Al milik YKD di Dusun Baulenu, Desa Manleten, Kecamatan Tasifeto Timur, Kabupaten Belu pada Khamis lalu," katanya.
Tambah Ariasandy, Dion dan Isto membungkus sayur lodeh itu dan kemudiannya membawa pulang ke rumah.
Tiba di rumah, Dion dan Isto menikmati hidangan itu terlebih dahulu sebelum meninggalkan baki makanan untuk Petrus.
"Ketika hendak makan, Petrus menemui potongan jari manusia dalam makanan. Dia kemudian memaklumkan hal ini kepada Dion dan Isto sebelum melaporkannya ke pihak polis," kata Ariasandy.
Mereka turut membawa bukti sisa sayur lodeh serta potongan jari yang ditemui.
Selepas menerima laporan itu, polis kemudian bekerjasama dengan pasukan perubatan untuk memeriksa potongan jari berkenaan.
"Sah ia memang potongan jari manusia," kata Ariasandy memberitahu pihaknya telah membuka kes siasatan serta memanggil beberapa saksi untuk disoal siasat.
#Nusa Tenggara Timur #Petrus Watu #sayur lodeh #jari manusia ditemui
;