Pelanggan ditikam penghantar piza kerana merungut pesanan lewat tiba
Nizam Bakeri
Januari 5, 2016 18:41 MYT
Januari 5, 2016 18:41 MYT
Seorang penghantar piza dari California Selatan telah ditahan polis atas tuduhan menikam seorang pelanggan dalam satu pertengkaran tentang piza yang lewat tiba, lapor Daily Mail.
Michael Parker, 31, kini menghadapi tuduhan serangan dengan senjata berbahaya gara-gara kejadian tersebut, Sabtu lalu.
Menurut polis, beberapa anggota dihantar ke sebuah kediaman di Covina kira-kira jam 11:35 malam selepas menerima panggilan kecemasan 911 berkenaan kes tikam.
Setibanya di sana, mereka menemui seorang lelaki sekitar 20-an dengan kesan tikaman di leher dan pergelangan tangan.
Mangsa menerima rawatan di tempat kejadian sebelum dipindahkan ke pusat kecemasan berhampiran.
Siasatan polis mendapati, mangsa telah bertengkar dengan Parker kerana pesanan yang dibuat lambat tiba.
Pelanggan yang tidak berpuas hati itu memberi upah tiga dolar AS bagi pesanan bernilai 45 dolar AS, namun Parker enggan beredar.
Pergaduhan lisan antara mereka berdua menjadi semakin hangat dan akhirnya bertukar fizikal dan melarat hingga ke luar rumah, tempat di mana mangsa ditikam.
Polis kemudian mengesan kedai piza tempat Parker bekerja dan menahannya.