Pelancongan: India buka sempadan bermula 15 Okt

Astro Awani
Oktober 8, 2021 11:12 MYT
Wanita India berpakaian tradisional mengadakan latihan tarian menjelang sambutan perayaan Navratri bagi penganut Hindu di Ahmadabad, India, 1 Okt, 2021. Gambar hiasan/AP
INDIA akan membuka semula pintu sempadannya buat pelancong bermula 15 Okt ini setelah ditutup lebih setahun susulan pandemik COVID-19.
Kementerian Dalam Negeri India memutuskan untuk memberikan visa pelancongan baru untuk warga luar yang tiba melalui penerbangan sewaan berkuat kuasa minggu hadapan.
Namun bagi pelancong yang menggunakan penerbangan selain sewaan akan dibenar masuk mulai 15 Nov dengan visa pelancong baharu.
India sebelum ini menangguhkan pemberian visa kepada warga dari luar negara pada Mac 2020.
Sekatan ke atas beberapa kategori warga asing seperti diplomat dan ahli perniagaan dilonggarkan namun pelancong masih dilarang memasuki India.
Awal tahun ini India dilanda gelombang jangkitan COVID-19 yang teruk dengan kira-kira 400,000 kes baharu dan 4,000 kematian setiap hari.
Namun kes baharu di negara berpopulasi 1.3 bilion itu menurun kepada 20,000 jangkitan setiap hari.
Pada masa sama, ketika ini sekatan beberapa aktiviti juga dilonggarkan.
#India #Kementerian Dalam Negeri #pelancongan #buka semula pintu sempadan
;