Pelancong tiada, penduduk Bali terpaksa hidupkan semula industri yang mati sedekad lalu
Agensi
Oktober 3, 2020 09:00 MYT
Oktober 3, 2020 09:00 MYT
NUSA LEMBONGAN: Sebelum pandemik koronavirus mencengkam Indonesia, pantai-pantai indah di Pulau Lembongan yang dikelilingi kebiruan Lautan Hindi dipenuhi kumpulan pelancong sedunia yang berbaringan menjemur tubuh.
Kini, apabila destinasi ‘syurga’ itu sudah sepi daripada kunjungan ramai dan ekonominya semakin tenat, penduduk tempatan yang sebelum ini rancak menyertai industri pelancongan dilihat mula kembali ke laut untuk bergantung hidup.
Ramai kini yang dilihat membawa bakul-bakul yang berisi rumpai laut, seterusnya untuk dijual pada pihak yang sanggup membayar.
"Saya rasa sedih kerana kami kehilangan kerja dan sekarang perlu bermula semula dengan tiada apa-apa,” ujar seorang warga tempatan, I Gede Darma Putra, 43, yang pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong dan jurulatih selaman skuba.
Reuters melaporkan, sama seperti kebanyakan penduduk pulau yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Bali itu, dia dan isterinya, Kadek Kristiani, kini meranduk air jernih di luar garis pantai untuk mengumpulkan rumpai laut yang tumbuh meliar.
Bali yang sebelum ini menjadi pilihan jutaan pengunjung setiap tahun, dengan kebanyakannya tergoda dengan tarikan pantai seperti di Lembongan, pernah merancang untuk membuka semula pintu masuknya kepada pelancong asing namun terpaksa ditangguhkan berikutan kes jangkitan COVID-19 yang meningkat.
Apabila banyak restoran dan bar kini tidak dapat meneruskan operasi, kerja-kerja mengeringkan rumpai laut dilihat kembali memenuhi pinggir jalanannya.
Perusahaan rumpai laut yang telah mati sejak kira-kira sedekad lalu itu kini kembali dihidupkan, bersandarkan prospek bahawa Indonesia adalah negara kedua terbesar pengeluar rumpai laut di dunia di belakang China.
"Penduduk kini mahu mengusahakan rumpai laut semula. Pada awalnya, saya keliru, memikirkan ‘apa yang perlu saya buat’.
"Namun, saya teringat akan kerja ini, menanam dan menuai rumpai laut... untuk mendapat pendapatan demi membeli makanan dan barangan untuk anak-anak kami,” ujar Boedi Sarkana Julianto dari Jaringan Sumber Daya (Jasuda) Indonesia, iaitu organisasi bukan kerajaan yang membimbing industri pertanian rumpai laut.
Wali Putra, seorang pengurus restoran berusia 50 tahun yang pernah bertani rumpai laut dalam tempoh yang lama dalam hayatnya, berkata pandemik ini mengingatkan dirinya pada kehidupan kanak-kanaknya.
"Sebelum ledakan industri pelancongan... yang memberi 'nyawa' dalam kehidupan penduduk Lembongan adalah rumpai laut," ujarnya.
Bagaimanapun, perusahaan rumpai laut bukan suatu kerja yang mudah dan tidak membawa pulangan sehebat dunia pelancongan. Apatah lagi dengan pandemik yang masih berleluasa, permintaan terhadapnya tidaklah tinggi.
Rumpai laut yang sudah dikeringkan, sebelum diproses dan dieksport untuk sektor pemakanan, hanya memberi pulangan sejumlah 12,000 Rupiah (RM3.40) sekilo, dan secara puratanya memberikan pendapatan sejumlah AS$400 (RM1,650) sebuan. NIlai itu adalah separuh daripada pendapatan yang pernah diperoleh sebelum kedatangan pandemik, ujar Boedi.
Ketua Lembaga Pelancongan Bali, I Putu Astawa, berkata sokongan pelancong masih diperlukan kerana 'pertanian tidak akan memulihkan semula ekonomi Bali'.
Namun bagi sesetengah penduduk tempatan, seperti Wayan Ujiana, 51, pendemik tersebut telah membawa pengajaran bahawa bahawa tidak boleh terlalu bergantung pada sektor pelancongan.
"Jangan lupa untuk mempelbagaikan mata pencarian anda, maka apabila masalah terjadi, kita tidak akan jatuh terduduk."
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Nusa Lembongan
#Bali
#Indonesia
#pandemik
#COVID19
#rumpai laut
#sektor pelancongan
#COVID-19
#koronavirus
#pelancong
#Pulau Lembongan
#I Gede Darma Putra
#Kadek Kristiani