Pelancong Jerman mati disengat obor-obor di Koh Samui
Agensi
Oktober 9, 2015 14:04 MYT
Oktober 9, 2015 14:04 MYT
Seorang pelancong wanita dari Jerman mati manakala rakannya masih menerima rawatan selepas disengat obor-obor ketika berenang di pantai peranginan Koh Samui, lapor Bangkok Post.
Kejadian yang berlaku pada Selasa itu menyaksikan Saskia Thies dan rakannya Giovanna Rassi dikejarkan ke Hospital Samui Bangkok selepas menerima rawatan awal akibat disengat obor-obor kotak (box jellyfish) tersebut.
Thies bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Insiden itu adalah yang kedua berlaku di negeri Surat Thani tahun ini.
Awal Ogos lalu, seorang wanita tempatan Chayanan Surin, 31, telah disengat oleh spesies obor-obor sama ketika berenang di laut pada waktu malam di Koh Phangan.
Menurut pihak berkuasa, ‘serangan’ obor-obor terhadap Thies dan rakannya berlaku pada jam 8 malam sewaktu kedua-duanya berenang di Pantai Lamai.
Para pekerja resort di tempat mereka menginap telah terdengar jeritan dari pantai dan sejurus bantuan tiba, mereka menjumpai kedua-dua pelancong itu yang mengalami kesakitan teruk akibat kesan sengatan di tubuh mereka.
Sementara menunggu ketibaan ambulans, rawatan awal yang diberikan kepada mangsa adalah dengan mencurahkan cuka ke atas bahagian tubuh yang disengat.
Pakar biologi dari Institut Penyelidikan dan Pembangunan Kawasan Perairan dan Marin Dr Charassri Angtanya berkata, terdapat 36 spesies obor-obor kotak di seluruh dunia dan sebahagian daripadanya sangat beracun.
Angtanya berkata, sesetengah obor-obor kotak menghasilkan bisa yang lebih kuat daripada ular tedung dan mampu membunuh manusia antara 2 hingga 15 minit.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang berbincang mengenai langkah-langkah perlu bagi mengelakkan insiden sama berulang, antaranya adalah dengan memastikan setiap pengusaha pusat peranginan pantai agar menyediakan kit rawatan awal termasuk cuka selain memasang jaring keselamatan di kawasan mandi-manda.