Pelancong boleh dihukum mati jika berswafoto di pantai Thailand ini

Astro Awani
April 9, 2019 00:44 MYT
Pelancong bergambar berlatar belakang pesawat sedang berlepas di pantai berhampiran sekitar lapangan terbang di Thailand. -Reuters
Gelagat orang ramai yang suka berswafoto di mana saja bukanlah asing.
Ada kalanya tindakan yang dilakukan agak menjengkelkan dan berbahaya, namun mereka berdegil dan tetap melakukannya.
Disebabkan kedegilan sesetengah pihaklah, pihak berkuasa terpaksa mengenakan peraturan dan undang-undang ketat bagi menghalang tindakan mementingkan diri sendiri ini daripada terus berleluasa.
Terkini, di Thailand, pelancong boleh berdepan hukuman mati jika didapati mengambil gambar atau swafoto di pantai Mai Khao yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.
Pantai tersebut sangat popular dengan gelagat pelancong yang tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar dengan berlatarbelakangkan pesawat sedang berlepas.
Namun tindakan itu didakwa boleh mengganggu fokus juruterbang.
"Kami sedang merangka zon keselamatan yang dikategorikan sebagai kawasan larangan dan tidak dibenarkan mengambil gambar.
"Selain daripada kawasan itu, penduduk dan pelancong boleh mengambil gambar seperti biasa," kata Timbalan Pengurus Besar Lapangan Terbang, Wichit Kaewsaithiam.
Kaewsaithiam berkata jika terdapat individu melanggar peraturan itu, penalti maksimum adalah hukuman mati.
"Kami mahu kawasan itu bebas dari kemalangan dan mengutamakan keselamatan pelancong," katanya lagi.
Penalti itu mengikut Akta Penerbangan Udara 1978 dengan membawa hukuman mati atau hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
#berlatarbelakangkan pesawat sedang berlepas #hukum mati #Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket #Mai Khao #pelancong #penerbangan #swafoto #Thailand