Pelancaran Gelembung Perjalanan Udara Singapura-Hong Kong pada 26 Mei ditangguhkan
Bernama
Mei 17, 2021 04:32 MYT
Mei 17, 2021 04:32 MYT
SINGAPURA: Pelancaran Penerbangan Gelembung Perjalananan Udara (ATB) Singapura-Hong Kong yang awalnya dirancang pada 26 Mei 2021 akan ditangguhkan memandangkan kes COVID-19 yang kian meningkat di Singapura.
Kementerian Pengangkutan Singapura mengatakan Menterinya S. Iswaran mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong, Edward Yau pagi Isnin.
"Kedua-dua pihak tetap berkomitmen untuk melancarkan ATB dengan selamat.
"Namun, memandangkan peningkatan kes baru-baru ini, Singapura tidak dapat memenuhi kriteria untuk memulakan ATB Singapura-Hong Kong," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan pelancaran ATB bagi melindungi kesihatan pelancong dan orang awam di kedua-dua lokasi ini, tambahnya.
Kementerian itu berkata Singapura dan Hong Kong akan memantau keadaan kesihatan awam di kedua-dua tempat dengan teliti dan mengkaji semula tarikh pelancaran penerbangan ATB yang baharu menjelang akhir Fasa 2 (Amaran Tahap Tinggi) di Singapura.
Republik itu ini berada di Fasa 2 (Amaran Tahap Tinggi) dari 16 Mei hingga 13 Jun.
ATB pada awalnya dirancang untuk dimulakan pada November 2020 tetapi ditangguhkan oleh kedua-dua pihak kerana keadaan COVID-19 yang semakin buruk di Hong Kong.
Kemudian pada 26 April 2021, pengumuman dibuat bahawa Singapura dan Hong Kong bersetuju untuk menetapkan 26 Mei sebagai tarikh pelancaran baharu untuk ATB mereka.
-- BERNAMA
#Hong Kong
#Singapura
#ekonomi
#pelancong
#COVID-19
#Gelembung Perjalananan Udara
#ATB
#S Iswaran
#Edward Yau