Pelan damai aturan Trump diyakini gagal

Astro Awani
Januari 30, 2020 08:15 MYT
MANSOUR: Kami percaya rancangan Trump, iaitu satu cubaan untuk menghancurkan hak nasional rakyat Palestin, akan gagal hasil perpaduan dan keteguhan hati rakyat Palestin. (Foto AP)
Pemerhati Tetap Palestin untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yakin pelan damai dikemukakan Presiden Donald Trump akan gagal.
Riyad Mansour pada masa sama menyifatkan pelan berkenaan sebagai "the opposite of peace" atau bertentangan dengan keamanan dan melanggar hak Palestin.
Malah tegasnya, penduduk Palestin sama sekali tidak akan tunduk kepada perancangan tidak adil berkenaan.
"Pelan damai itu bertentangan dengan keamanan dan tidak benar sama sekali bahawa ia sesuatu yang menarik untuk Palestin datang dan berunding.
"Kami percaya rancangan Trump, rancangan Trump/Netanyahu, iaitu satu cubaan untuk menghancurkan hak nasional rakyat Palestin, akan gagal.
"Ia akan gagal hasil perpaduan dan keteguhan hati rakyat Palestin dan pembelaan yang dipamerkan masyarakat antarabangsa," katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.
Malah, pelan damai aturan Trump itu disifatkan tidak berlandaskan persetujuan antarabangsa termasuk dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
"Sebarang perubahan pada sempadan tahun 1967 tidak boleh dipersetujui tanpa kelulusan mana-mana pihak melalui rundingan.
"Sekali gus, hak pelarian berdasarkan undang-undang dan Resolusi 194 PBB akan gagal," ujar beliau.
Terdahulu, Presiden Palestin Mahmud Abbas turut menolak cadangan damai Trump yang dianggap tidak boleh diterima kerana menyebelahi Israel, yang jelas bertentangan dengan aspirasi rakyatnya.
#Donald Trump #Israel #keselamatan #New York #Palestin #PBB #pelan damai #perpaduan #rakyat #undang-undang
;