Pelaksanaan hukuman gantung Jabing ditangguh
Bernama
Mei 19, 2016 23:45 MYT
Mei 19, 2016 23:45 MYT
Jabatan Peguam Negara (AGC) Singapura hari ini berkata pelaksanaan hukuman gantung warga Malaysia Kho Jabing ditangguh.
Jurucakap AGC berkata kes rayuan itu akan didengar pukul 9 pagi esok.
Peguam Jeanette berjaya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum pukul 11 malam ini (Khamis) selepas saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Kannan Ramesh.
Anak kelahiran Sarawak, Jabing, yang dijadual menjalani hukuman gantung esok, diberi masa sehingga 11 malam ini oleh Mahkamah Tinggi untuk memfailkan notis rayuan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
"Kho (Jabing) diberi penangguhan sementara menunggu pendengaran rayuan itu," menurut Timbalan Pendakwa Raya, Francis Ng selepas mengadakan pertemuan selama hampir empat jam dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
"Kegagalan memfailkan notis rayuan sebelum 11 malam ini, maka penangguhan ini akan luput," kata Ng, sambil menambah sekiranya memfailkan notis itu maka mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu dalam masa terdekat.
Ini susulan tindakan peguam keluarga Jabing, Jeanette Chong-Aruldoss memfailkan segera saman pemula di Mahkamah Agung untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Jabing untuk mencabar penghakiman dalam usaha saat akhir mengelak hukuman mati.
Prosiding bagi pemohonan mencabar penghakiman terhadap hukuman gantung atas kesalahan membunuh didengar di hadapan panel dianggotai oleh Hakim Chao Hick Tin, Andrew Phang, Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.
Peguam Jabing, Gino Hardial Singh memfailkan permohonan itu atas alasan penghakiman itu berat sebelah berikutan Hakim Pang turut terbabit dalam kes rayuan Jabing pada 2010 dan 2013.
Minggu lepas, keluarga Jabing telah menerima surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang memaklumkan Jabing akan menjalani hukuman gantung, esok.
Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive di sini pada 2008.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing anak Kujat.
Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.
Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.
Kemudian, Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lepas.