Pelakon 'Tarzan' terbunuh dalam nahas pesawat

Eton Khir
Mei 31, 2021 12:05 MYT
Pelakon siri televisyen yang popular dengan watak Tarzan di era 80- dan 90-an, Joe Lara dilapor terkorban dalam nahas pesawat bersama isterinya dan lima yang lain. -Foto joelara.com
NASHVILLE: Pelakon siri televisyen yang popular dengan watak Tarzan di era 80- dan 90-an, Joe Lara dilapor terkorban dalam nahas pesawat bersama isterinya dan lima yang lain.
Dalam kejadian pada Sabtu, pesawat model Cessna C501 yang dinaiki ketujuh-tujuh penumpang terhempas ke dalam Tasik Priest berhampiran bandar Nashville.
Menurut pihak berkuasa Florida (RCFR) di Facebook, pesawat kecil itu terhempas sekitar jam 11 pagi waktu tempatan sejurus berlepas dari Smyrna, Tennessee menuju ke Palm Beach, Florida.
RCFR dalam kenyataan pada petang Ahad berkata operasi menyelamat telah menemukan beberapa komponen badan pesawat dan mayat mangsa.
Mereka kemudian mengesahkan Joe Lara, 58, dan isterinya Gwen Lara, 66, antara tujuh yang terkorban.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NTSB) telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.
Joe Lara popular dengan watak raja rimba dalam siri TV tahun 1989 "Tarzan in Manhattan" sebelum membintangi siri "Tarzan: The Epic Adventures" dari tahun 1996 hingga 1997.
#Tarzan #pesawat terhempas #Joe Lara #Gwen Lara #Cessna C501 #Tarzan in Manhattan #NTSB #RCFR #Tasik Priest
;