Pelakon Robert De Niro gelar Donald Trump anjing, babi
Nizam Bakeri
Oktober 9, 2016 15:48 MYT
Oktober 9, 2016 15:48 MYT
“Dia anjing, babi, penipu, dan orang bodoh yang tak tahu apa yang dia sendiri katakan.”
Demikian luahan hati pelakon legenda Hollywood Robert De Niro terhadap calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Ucapan tersebut disampaikan dalam sebuah video pendek yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kempen #VoteYourFuture yang menampilkan selebriti mengajak rakyat Amerika mengundi tanpa cenderung kepada mana-mana parti bertanding.
Video ucapan De Niro tidak dipilih untuk disiarkan secara rasmi sebagai bahan kempen kerana terlalu jelas tidak berpihak kepada calon parti Republikan itu.
Dalam video berdurasi 55 saat itu, pelakon Raging Bull dan Taxi Driver itu turut menyuarakan keinginannya dengan jelas:
“Dia (Trump) selalu bercakap tentang menumbuk muka orang. Saya pun mahu tumbuk muka dia.”
Pemenang Academy Award itu juga melabelkan Trump sebagai sesuatu yang memalukan negaranya.
“Saya amat marah kerana kerana negara ini sudah sampai ke tahap ini, si bodoh ini berada pada kedudukannya sekarang (sebagai calon Presiden),” tambahnya.
Kempen #VoteYourFuture menampilkan selebriti Hollywood antaranya Samuel L. Jackson, Leonardo Dicaprio, Julia Roberts. Anne Hathaway, dan Emma Stone.