Pelakon Korea Selatan dipenjara setahun atas kesalahan dadah

Bernama
September 3, 2024 21:53 MYT
Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas pelakon itu dan mengenakan denda 2 juta won (US$1,490). - Instagram - hongsick
SEOUL: Pelakon Yoo Ah-in dijatuhi hukuman penjara setahun pada Selasa (3 Sept) kerana kerap menyalahgunakan dadah terlarang dan ditahan serta-merta, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pelakon berusia 38 tahun itu, yang karya terbarunya termasuk siri fantasi gelap Netflix "Hellbound," menghadapi tuduhan menggunakan propofol, anestetik perubatan, secara haram dengan alasan prosedur kosmetik sebanyak 181 kali antara 2020 dan 2022.
Dia juga dituduh menyalahgunakan tiga ubat anestetik perubatan lain, termasuk midazolam dan ketamin.
Pertuduhan terhadapnya juga termasuk membeli kira-kira 1,100 pil tidur dengan preskripsi di bawah nama orang lain, menghisap ganja semasa berada di Amerika Syarikat pada Januari, dan memaksa rakan sejenayah untuk menarik balik keterangan terhadapnya.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas pelakon itu, yang nama sebenarnya adalah Uhm Hong-sik, dan mengenakan denda 2 juta won (US$1,490).
Mahkamah mensabitkannya atas pembelian dan penyalahgunaan dadah secara haram tetapi mendapati dia tidak bersalah kerana cuba memusnahkan bukti atau paksaan, dengan alasan bukti yang tidak mencukupi.
Yoo yang mengenakan sut hitam ditahan serta-merta atas perintah mahkamah selepas dibicarakan tanpa penahanan fizikal.
Pendakwa raya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara empat tahun.
"(Yoo) nampaknya tidak bimbang mengenai pengambilan dadah, bergantung kepada anestetik dan pil tidur dan menghisap ganja walaupun doktor memberi amaran," kata mahkamah.
"Pergantungannya nampak serius, dan sukar untuk mengatakan bahawa dia mempunyai risiko rendah untuk melakukan kesalahan semula," katanya.
Dalam perbicaraan mahkamah sebelum ini, Yoo berkata beliau telah lama mengalami kemurungan, panik dan gangguan tidur kerana kehidupannya sebagai selebriti, mengakui kebergantungannya kepada anestetik.
Yoo juga melahirkan penyesalan atas kesalahannya sambil menambah, "Walau apa pun keputusannya, saya akan membalas mereka yang menjaga saya dengan berusaha menjadi lebih sihat dan jujur serta menjalani hidup sebagai seseorang yang boleh menyumbang kepada masyarakat."
-- BERNAMA
#ganja #Netflix #Korea Utara #penahanan fizikal