Pelakon Bollywood Sanjay Dutt dipenjara lima tahun
Astro Awani
Mac 23, 2013 19:31 MYT
Mac 23, 2013 19:31 MYT
Mahkamah Agung India menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas pelakon Bollywood Sanjay Dutt kerana didapati bersalah menyimpan sejumlah senjata api milik penjenayah.
Senjata api berkenaan didakwa milik penjenayah yang terlibat dalam siri serangan bom terburuk di India pada 1993 yang mengorbankan 257 orang di Mumbai.
Sanjay diperintahkan untuk menyerah diri dalam masa empat minggu apabila tidak menghadirkan diri semasa keputusan dibaca terhadapnya.
Kes yang tertangguh selama 18 tahun, hukuman selama lima tahun itu difahamkan sudah dikurangkan daripada enam tahun.
Ini kerana Sanjay pernah dipenjarakan selama 18 bulan sebelum dibebaskan pada November 2007.
Sanjay sehingga kini membela dirinya dengan menyatakan bahawa langsung tidak mengetahui mengenai plot pengeboman tersebut.
Menurutnya, dia memiliki senjata api bagi melindungi ahli keluarganya selepas menerima ugutan semasa rusuhan di Mumbai.
Bagaimanapun mahkamah telah menjatuhkan hukuman dengan kesalahan konspirasi serta keganasan.
Aktor berusia 53 tahun itu kini sedang menjalani penggambaran filem “Policegiri”.
Sanjay merupakan anak kepada pasangan lagenda Bollywood, Sunil dan Nargis Dutt.