Pelajar wanita dihalang duduki peperiksaan kerana pakai seluar pendek
Agensi
September 18, 2021 10:13 MYT
September 18, 2021 10:13 MYT
SEORANG pelajar di India terpaksa membalut kakinya dengan kain langsir selepas dihalang oleh gurunya untuk menduduki peperiksaan kerana muncul di dewan peperiksaan di sebuah universiti dengan memakai seluar pendek.
Menurut media tempatan, Jublee Tamuli yang berusia 19 tahun itu telah mengharungi perjalanan sejauh 70 kilometer dari rumahnya untuk menduduki ujian tersebut di bandar Tezpur di Assam, bersama ayahnya.
Kejadian itu membuatkan ayahnya terpaksa bergegas ke pasar untuk membeli sepasang seluar buat anaknya, namun sebaik tiba di universiti tersebut, anaknya telah selesai menjawab peperiksaan dengan kakinya dibungkus dengan kain langsir.
Tamuli menggambarkan peristiwa itu sebagai satu pengalaman yang paling memalukan dalam hidupnya dan mempersoalkan sama ada dia dianggap melakukan jenayah.
“Adakah perbuatan saya memakai seluar pendek itu sebagai satu jenayah? Semua gadis memakai seluar pendek.
“Sekiranya mereka tidak mahu kami memakai seluar pendek, mereka sepatutnya menyatakan perkara itu di dalam syarat peperiksaan tersebut," katanya.
Kejadian itu berlaku pada Rabu semasa ujian kemasukan ke universiti diadakan di Institut Sains Farmasi Girijananda Chowdhury.
"Mereka tidak memeriksa protokol COVID-19, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan tetapi mereka memeriksa protokol pemakaian seluar pendek," menurut laporan The Indian Express.
Tamuli mendakwa, dokumen peperiksaan tidak menyatakan kod berpakaian dan dia dibenarkan pengawal keselamatan memasuki institut tersebut, tetapi dihalang memasuki dewan peperiksaan oleh petugas.
Kejadian itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak pihak yang menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahan mereka.