Pelajar universiti maut terkena tembakan, 3 suspek ditahan
Astro Awani
Mei 19, 2020 12:36 MYT
Mei 19, 2020 12:36 MYT
Seorang wanita meninggal dunia selepas ditembak sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan membeli barang keperluan berhampiran rumahnya pada tengah hari Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Aya Hachem, 19, pelajar jurusan undang-undang di Universiti Salford, lapor BBC.
Ketika kejadian, mangsa sedang menuju ke pasar raya Lidl untuk persiapan menjelang Aidilfitri minggu depan.
Aya, warga Lubnan, dipercayai bukan sasaran sebenar dalam kejadian itu, sebaliknya secara kebetulan lalu di situ ketika suspek sedang menembak ke arah sebuah kedai mencuci kenderaan di King Street.
Suspek dan pemilik kedai berkenaan didakwa sering bertelingkah sehingga mendorong kepada perlakuan ganas.
Perkhidmatan kecemasan yang bergegas ke lokasi cuba menyelamatkan mangsa yang terkena sebutir peluru, namun mangsa meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.
Kejadian telah menggemparkan komuniti Lancashire yang mendesak pemburuan suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.
Susulan kejadian, polis Lancashire mengerahkan pemburuan suspek sebelum pihak berkuasa menemukan kereta dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Tiga suspek berusia 39, 33 dan 36, dari Blackburn, kini ditahan atas dakwaan membunuh.
Polis masih mencari bukti dan meminta saksi untuk tampil memberikan keterangan.
Polis setakat ini percaya mangsa bukan sasaran dalam serangan itu, malah setiap petunjuk menyatakan Aya menjadi mangsa keadaan.
Polis juga percaya insiden tiada kaitan dengan kegiatan terorisme dan tiada unsur membabitkan perkauman.
Mayat Aya dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Qlaileh, Lubnan.
#Aya Hachem
#jurusan undang-undang
#Lancashire
#lubnan
#Qlaileh
#Universiti Salford
#wanita warga Lubnan