Pelajar Singapura di London dibelasah gara-gara COVID-19
Agensi
Mac 3, 2020 07:00 MYT
Mac 3, 2020 07:00 MYT
Kegusaran orang ramai terhadap penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan banyak negara terus menjadi kebimbangan sesetengah pihak.
Orang awam bertambah panik apabila duduk berdekatan dengan kalangan warga yang berasal dari negara yang terjejas wabak tersebut.
Lebih teruk apabila suasana panik itu tidak dapat dikawal seterusnya menyebabkan serangan fizikal seperti yang terjadi pada seorang pelajar kelahiran Singapura yang kini belajar di London.
Kecewa akan nasib yang menimpanya, Jonathan Mok nekad membuat satu hantaran di akaun Facebook selepas diserang sekumpulan pemuda.
Mok mendakwa dipukul dan ditumbuk sehingga matanya lebam ketika bersiar-siar di Oxford Street. Menurutnya, dia turut diherdik dengan cacian berbaur perkauman.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu, Mok mengaku dia tidak dapat mendengar dengan pasti kata-kata yang dilontar kerana loghat yang digunakan, namun dia dapat meneka cacian mereka yang menyebut "koronavirus".
“Saya tidak mahu koronavirus kamu dalam negara saya,” kata salah seorang pemuda lelaki yang menyerangnya sepertimana dipetik daripada catatan Mok di Facebook.
Difahamkan, polis tiba sejurus sekumpulan penyerang itu meninggalkan tempat kejadian.
Kongsi Mok, dia mengalami beberapa retakan pada tulang muka dan mungkin akan menjalani pembedahan.
Mok yang sudah berada di tahun kedua pengajiannya sebelum ini difahamkan pernah berdepan dengan insiden seperti berbaur perkauman ini yang juga dikaitkan dengan COVID-19.
#cacian berbaur perkauman
#coronavirus
#jenayah rasis
#Jonathan Mok
#London
#Oxford Street
#rasis berbaur perkauman
#Singapura