Pelajar, polis bertembung di Universiti Al-Azhar

Astro Awani
Oktober 20, 2013 23:56 MYT
Beratus-ratus penyokong Mohamed Morsi berhimpun untuk hari kedua berturut-turut sebagai siri bantahan berterusan ke atas kerajaan sementara yang memerintah.
Antara yang terlibat dalam perhimpunan itu termasuk pelajar universiti.
Perhimpunan bertukar ganas apabila polis dan aktivis saling membaling batu.
Keadaan menyebabkan jalan-jalan utama menuju ke Universiti Al-Azhar di bandar Kaherah ditutup.
Majoriti yang terlibat dalam perhimpunan itu adalah penyokong Ikhwanul Muslimin.
Semasa hari pertama perhimpunan, kampus di Universiti Al-Azhar banyak alami kerosakan khususnya pintu pejabat dan bilik kuliah.
Pihak universiti memberi amaran kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak menyertai perhimpunan dan mengelakkan keganasan dibawa masuk ke kampus.
Namun amaran itu tidak diendahkan penyokong Ikhwanul Muslimin.
Mereka sebaliknya berarak memasuki pintu pagar universiti sebagai memperingati pelajar yang maut dalam tunjuk perasaan sebelum ini pada Julai.
Tunjuk perasaan siri terbaru menyusul apabila timbul perdebatan mengenai undang-undang baru yang mengenakan tindakan lebih tegas terhadap penunjuk perasaan, termasuk denda dan penjara.
Mohamed Morsi disingkirkan tentera pada 3 Julai lalu, mendorong ratusan ribu penyokongnya membanjiri jalan raya untuk mengembalikan kekuasaannya.
Sejak itu Kaherah berusaha sedaya upaya menghentikan penyokongnya daripada berhimpun.
Tindakan tersebut mengakibatkan beribu-ribu orang terbunuh dan diberkas.
Dalam perkembangan berasingan, tiga orang termasuk kanak-kanak berusia lapan tahun terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di majlis perkahwinan di gereja di kaherah.
Insiden itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan yang lain cedera.
Bagaimanapun tiada pihak mengaku bertanggungjawab dengan insiden itu.
Komuniti Kristian Koptik didakwa menjadi sasaran golongan yang menuduh bahawa tentera bertanggungjawab dengan penyingkiran bekas presiden Mohamed Morsi pada Julai lepas.
Semasa pengumuman penggulingan Mohamed Morsi oleh tentera, kumpulan Kristian secara terbuka menyatakan sokongan mereka.
Kristian Koptik mewakili sekurang-kurangnya 10 peratus atau 8 juta daripada keseluruhan penduduk mesir.
#Al-Azhar #berhimpun #Kaherah #Mesir #Mohamed Morsi #universiti