Pelajar PhD USIM ambil ujian di sebalik runtuhan di Gaza

Sinar Harian
April 27, 2024 11:30 MYT
Abdallah berada di bawah sebuah khemah di kawasan terbuka dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah dibedil tentera Zionis. - Gambar/ USIM
NILAI: Seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) warga Palestin nekad menjalani Ujian Kelayakan yang dijalankan secara dalam talian pada Jumaat walaupun berdepan risiko dibom tentera Zionis pada bila-bila masa.
Menerusi perkongsian oleh USIM, pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu berjaya lulus dalam ujian tersebut walaupun dalam keadaan kampung halamannya musnah dibom.
Dalam satu rakaman video pada akhir sesi ujian tersebut, Abdallah Abuajwa, 40, yang berada di utara Gaza dilihat berada di bawah sebuah khemah di kawasan terbuka dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah dibedil tentera Zionis.
Pada akhir sesi ujian kelayakannya, Abdallah mengucapkan terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaannya diketuai Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.
“Saya akan meneruskan pengajian sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya. Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan akan terus berdoa agar Allah memberikan ilmu yang bermanfaat untuk agama dan negara Palestin,” katanya.
Menurut Abdallah, walaupun infrastuktur ICT di Gaza musnah akibat serangan tentera zionis, dia masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi ujian kelayakan itu walaupun risiko diserang oleh tentera Israel.
Tambahnya, bagi mendapatkan sumber elektrik untuk mengecas komputer riba dan telefon bimbitnya, dia menggunakan sel solar agar peralatan elektroniknya boleh terus berfungsi.
Sementara itu, penyelia utamanya, Ali Nasser melahirkan rasa kagum dengan kecekalan pelajar seliaannya itu.
“Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan, masalah kesihatan dialami anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu Cerebral Atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza.
"Walaupun ia mengganggu dan melambatkan pengajian Doktor Falsafahnya, Abdallah tetap ingin meneruskan pembelajarannya," katanya
Ujarnya, Abdallah kini berada di semester ke-7 dan dengan kejayaannya lulus ujian kelayakan dengan pembetulan, dia kini boleh meneruskan pengajian dan menamatkan PhDnya
Sementara itu katanya, isteri Abdallah dan tiga anak mereka kini berada di Selatan Gaza manakala Abdallah yang terpisah bersama seorang lagi anaknya berada di Utara Gaza.
"Kediaman dan kenderaannya di Utara Gaza musnah manakala ramai saudara-maranya terkorban sejak serangan rejim Israel pada Oktober tahun lalu.
"Abdallah sedang menjalankan kajian berkaitan impak kepimpinan digital terhadap pengurusan perubahan di institusi pengajian tinggi di Palestin," katanya. - Sinar Harian
#Gaza #USIM #peperiksaan #pelajar di Malaysia
;