Pelajar peroleh lebih AS$1 juta hasil jualan 'selfie' di NFT
Astro Awani
Januari 15, 2022 09:32 MYT
Januari 15, 2022 09:32 MYT
SEORANG pelajar kolej tidak menyangka video memaparkan beberapa keping foto yang dirakamnya semasa belajar di hadapan komputer menjadi tular di media sosial.
Sultan Gustaf Al Ghozali, seorang pelajar Indonesia di Universiti Semarang, telah merakam 'selfie' di hadapan komputer setiap hari selama lima tahun.
Dia dikatakan melakukan perbuatan itu bagi tujuan menjadikan satu video sebagai kenangan sempena upacara penyampaian ijazah kelak.
Namun setelah video tersebut menjadi tular, Ghozali berjaya memperoleh lebih AS$1 juta selepas menjual hak cipta digital video berkenaan menerusi token 'non-fungible'.
Selepas mempelajari tentang teknologi 'blockchain', pelajar berusia 22 tahun itu memuat naik foto-foto berkenaan di platform perniagaan NFT OpenSea dengan tajuk "Ghozali Everyday".
"Saya tidak sangka ada yang ingin membeli 'selfie' saya. Itu sebab saya hanya meletakkan harga AS$3 untuk setiap foto," katanya memetik laporan Channel News Asia.
Pada Jumaat setiap keping foto dijual pada 0.247 mata wang kripto ether (AS$806) selepas permintaan melonjak.
NFT merupakan satu platform yang menukar barangan digital daripada lukisan sehingga ke meme kepada barang digemari pengumpul yang tidak boleh disalin semula.
Ghozali bermula memuat naik 'selfie' pada Disember lalu dan dia mula menjana pendapatan lumayan setelah seorang chef selebriti membeli beberapa keping fotonya serta mempromosi Ghozali di akaun media sosialnya.
Dalam beberapa hari sahaja, lebih 400 individu membeli 'selfie' itu.
Sehingga petang Jumaat, jumlah dagangan Ghozali mencapai 317 ether, bersamaan dengan lebih AS1 juta.
"Secara jujurnya saya masih tidak berani memberitahu ibu bapa saya namun mereka mungkin akan tertanya di mana saya dapatkan duit itu," katanya lagi.
Ghozali sering mengemaskini statistik OpenSea video berkenaan di akaun Twitter miliknya, yang sehingga kini terdapat lebih 16,000 pengikut.
"Hari ini saya berjaya menjual lebih 230 'selfie' dan sehingga kini saya masih tidak faham mengapa ada orang ingin membeli foto NFT saya.
"Namun saya sangat bersyukur dan berterima kasih. Akhirnya usaha saya selama lima tahun membuahkan hasil," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya pada Selasa.
Ghozali, yang bercita-cita untuk membuka studio animasi sendiri satu hari ini berkata, dia akan melaburkan duit itu dan teruskan mengambil 'selfie' setiap hari sehingga tamat pengajian.