Pelajar pakai kotak di kepala ketika peperiksaan untuk elak meniru
Astro Awani
Oktober 19, 2019 05:22 MYT
Oktober 19, 2019 05:22 MYT
SEBUAH sekolah di India meminta maaf selepas menggunakan kaedah pelik bagi memastikan pelajarnya tidak meniru semasa menduduki peperiksaan.
Beberapa keping gambar tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan pelajarnya memakai kotak di bahagian ketika berada di dewan peperiksaan.
Gambar berkenaan diambil di Bhagat Pre-University College di Haveri, Karnataka.
Bagaimanapun, setelah gambar berkenaan tular di media sosial, jurucakap pengurusan sekolah berkenaan MB Satish tampil untuk meminta maaf susulan perkara tersebut.
"Saya meminta maaf kerana menggunakan kaedah pelik untuk menggelakkan penipuan berlaku ketika peperiksaan.
"Sekolah hanya menggunakan kaedah tersebut sebagai eksperimen selepas mendengar ia pernah digunakan di tempat lain.
"Para pelajar juga dengan rela hati melakukannya malah membawa kotak mereka sendiri," katanya menurut laporan BBC.
Satish turut berkata kaedah tersebut bukan paksaan kerana dapat dilihat terdapat pelajar yang menanggalkan kotak tersebut selepas 15 hingga 20 minit memakainya.
"Kami sendiri menyuruh pelajar untuk menanggalkan kotak berkenaan selepas satu jam memakainya," jelas beliau.
Pegawai pendidikan daerah tersebut bergegas ke sekolah berkenaan sejurus diberitahu mengenai gambar berkenaan.
Timbalan Pengarah Lembaga Pendidikan pra-Universiti Tempatan, SC Peerjade menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Apabila saya mendapat tahu mengenai gambar berkenaan, saya bergegas ke sana dan mengarahkan supaya pihak sekolah menghentikan perkara tersebut.
"Saya juga telah mengeluarkan notis kepada pengurusan sekolah dan sedang melihat tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap mereka kerana melaksanakan idea tersebut," katanya menurut India Times.
Pihak pengurusan sekolah bagaimanapun berkata mereka telah menghentikan amalan tersebut.
#Bhagat Pre-University College
#Gambar
#Haveri
#India
#Karnataka
#MB Satish
#meniru
#pelajar
#pelik
#pengurusan
#peperiksaan
#SC Peerjade
#sekolah