Pelajar maut terkena kipas pesawat selepas janji temu

Agensi
Oktober 19, 2022 12:38 MYT
Mangsa, Sani Aliyu, 21, meninggal dunia serta-merta selepas bilah kipas pesawat jenis Cessna 172 terkena kepalanya. -Foto hiasan/cessna.txtav.com
DETIK romantik seorang pelajar lelaki dari Georgia, Amerika Syarikat (AS) bertukar duka apabila dia maut selepas terkena bilah kipas kapal terbang yang disewanya untuk janji temu dengan seorang gadis.
Memetik laporan antarabangsa, mangsa Sani Aliyu, 21, meninggal dunia serta-merta dalam kejadian pada 16 Oktober lalu selepas bilah kipas pesawat jenis Cessna 172 terkena kepalanya.
Menurut Koroner Daerah Bulloch Jake Futch, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Statesboro-Bulloch County sebaik sahaja pasangan itu pulang daripada janji temu di Savannah.
"Sebaik pulang sekitar pukul 10.30 malam, wanita tidak dikenali itu pergi ke bahagian belakang pesawat.
"(Mangsa) pula keluar dan berjalan ke arah hadapan. Disebabkan (dia berjalan ke hadapan), kepalanya terkena bilah kipas dan dia terbunuh di lokasi kejadian," katanya memetik The Telegraph.
Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Daerah Bulloch tiba di tempat kejadian dengan ambulans, namun pelajar tahun dua Universiti Georgia itu disahkan telah meninggal dunia.
Sementara itu, portal PEOPLE melaporkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Selain mangsa dan teman wanita, pesawat tersebut turut membawa seorang juruterbang dan pembantu juruterbang.
#Pelajar Georgia maut #Sani Aliyu #Lapangan Terbang Statesboro-Bulloch County #terkena bilah kipas kapal terbang
;