Pelajar Malaysia di Sulawesi selamat
Bernama
September 29, 2018 17:20 MYT
September 29, 2018 17:20 MYT
Semua pelajar Malaysia di Sulawesi dilaporkan selamat kerana kedudukan mereka jauh dari kawasan gempa bumi yang menggegarkan Kota Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah semalam.
Menurut Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Mohd Mubarak Shamsuddin, terdapat 286 pelajar Malaysia di Universitas Hassanuddin dan dua lagi menuntut di Sekolah Tinggi Ilmu dan Bahasa di Makasar, masing-masing di Sulawesi Selatan.
"Jarak kawasan yang terjejas dengan Kota Makassar adalah sejauh 700 kilometer.
"Tiada juga rakyat Malaysia di kawasan berdekatan (kawasan gempa) kerana ia bukanlah kawasan utama tumpuan pelancong," katanya kepada Bernama di sini.
LAPORAN AWAL: Tsunami Sulawesi: Hampir 100 mangsa terkorban
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lengkap dan terkini berhubung bencana itu.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter itu menggoncang Sulawesi Tengah pada 5.02 petang semalam yang turut menyebabkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan hari ini, berkata setakat 10 pagi tadi, 48 mangsa terkorban dengan lebih 300 cedera selain ribuan rumah dan bangunan musnah.
"Komunikasi di Sulawesi Tengah lumpuh berikutan bekalan elektrik terputus, jaringan komunikasi juga terputus dan ini menyukarkan perolehan data dan maklumat dengan cepat berhubung kesan gempa dan tsunami itu," katanya.
Sementara itu Ketua Biro agensi berita Antara di Sulawesi Tengah, Rolex Malaha berkata jumlah mangsa terkorban dikhuatiri terus meningkat berikutan ramai dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan rumah dan bangunan.
"Jumlah korban dikhuatiri mencecah ratusan orang berikutan banyak bangunan dan hotel runtuh akibat gempa bumi itu," katanya dipetik dalam laporan Antara. -- Bernama