Pelajar Malaysia antara yang cedera dalam serangan di Nice

Astro Awani
Julai 15, 2016 20:13 MYT
Pelajar lelaki itu merupakan antara 12 mahasiswa SUTD yang berada di Nice untuk program musim panas. -Gambar fail
Pelajar tahun tiga dari Malaysia yang belajar di Singapore University of Technology and Design (SUTD) disahkan antara yang cedera dalam serangan di Nice, Perancis.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak universiti berkenaan, pelajar lelaki tersebut merupakan antara 12 mahasiswa SUTD yang berada di Nice untuk program musim panas.
Beliau kini dirawat di hospital tempatan dan dilaporkan stabil.
Menurut laporan Channel News Asia, Presiden SUTD, Professor Thomas Magnanti memberitahu pihaknya telah menghubungi ahli keluarga mangsa serta pihak berwajib untuk membantu mangsa.
"Kami berusaha memberikan bantuan yang diperlukan serta kemas kini terbaharu untuk ibu bapa pelajar terbabit.
"11 pelajar lain dinasihatkan untuk kekal di asrama dan memberi perhatian kepada arahan keselamatan oleh pihak berkuasa Perancis," katanya.
Sementara itu, The Straits Times melaporkan pelajar SUTD yang cedera itu ialah Esmond Chuah, 22, dan bapanya memohon untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan anaknya itu.
"Tolong cari anak lelaki saya Esmond Chuah Hooi Ong (pelajar SUTD) yang cedera dalam serangan di Nice, Perancis pagi ini. Ingin tahu keadaannya sekarang," menurut Chuah Tze Leng dalam akaun Facebooknya.
Daripada laman Facebook miliknya itu, Chuah menyatakan bahawa beliau bekerja di Astro dan tinggal di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan sama, Wisma Putra mengesahkan menerima maklumat seorang pelajar Malaysia cedera dalam serangan itu.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh orang ramai di Nice, selatan Perancis.
#pelajar malaysia #serangan nice #Singapore University of Technology and Design #SUTD
;