Pelajar ke kelas naik pesawat, elak bayar caj rumah sewa mahal

Gempak
Februari 24, 2024 12:45 MYT
Tim Chen memilih menaiki pesawat untuk ke kelas kerana kosnya jauh lebih murah daripada membayar sewa bulanan di Vancouver. -Gempak
SEORANG pelajar dari Kanada memilih untuk menaiki pesawat bagi mengelakkan membayar caj rumah sewa yang mahal.
Menurut pelajar yang bernama Tim Chen itu dia memilih penerbangan untuk ke kelasnya, kerana difahamkan kosnya jauh lebih murah daripada membayar sewa bulanan di Vancouver.
Memetik laporan oleh KTLA 5, pelajar itu secara kasar membelanjakan $150 (RM530) setiap penerbangan pergi balik, yang mencecah hampir $1,200 (RM4,245) sebulan untuk kelas hanya dua kali seminggu.
Sementara itu, sebuah apartmen satu bilik di Vancouver boleh menelan belanja sewaan sekitar $2,100 (RM7,430) sebulan.
“Saya hanya ada dua hari sahaja yang perlu ke kolej untuk kelas (Selasa dan Khamis), saya terbang ke Vancouver pada waktu pagi dan kembali ke Calgary pada waktu malam.
“Saya telah menaiki Air Kanada untuk semua penerbangan ini, dan untuk Januari, saya melakukan tujuh perjalanan pergi dan balik seperti ini.
“Saya rasa ada banyak penjimatan untuk mengelak menyewa kediaman di Vancouver.
“Ini kerana saya tidak perlu membayar sewa di Calgary (tinggal bersama ibu bapa) kecuali hanya sekadar untuk membayar utiliti.
“Ia jauh lebih murah daripada menyewa apartmen satu bilik untuk $2,000 lebih di Vancouver,” jelasnya menerusi temu bual oleh KTA 5. -Gempak
#Tim Chen #naik pesawat ke kelas #elak caj sewa rumah #Vancouver
;