Pelajar ditemui mati selepas tersalah naik Uber

Agensi
Mac 31, 2019 20:05 MYT
Mayat Samantha Josephson (kanan) ditemui di sebuah kawasan hutan di tenggara bandar Columbia. - Facebook
SEORANG gadis berusia 21 tahun di South Carolina, Amerika Syarikat yang dilaporkan hilang pada Jumaat selepas tersilap menaiki kenderaan Uber yang ditempahnya, ditemui mati.
Mayat Samantha Josephson, pelajar jurusan Sains Politik di University of South Carolina, ditemui oleh sekumpulan pemburu di sebuah kawasan hutan di tenggara bandar Columbia, pada Sabtu.
Hasil siasatan menerusi rakaman CCTV menunjukkan Josephson menaiki sebuah kereta Chevrolet Impala berwarna gelap.
Ia kemudiannya membawa kepada penahanan pemandu itu pada Sabtu, lapor CNN.
Nathaniel David Rowland, 24, ditahan atas dakwaan membunuh dan menculik Josephson.
"Kami menemui kesan darah dan telefon bimbit milik mangsa di dalam kereta itu, selain bekas cecair peluntur, tisu pembasmi kuman dan pembersih tingkap.
"Child safety lock juga diaktifkan, membuatkan pintu kereta itu sukar dibuka dari dalam," kata Ketua Polis Columbia, W.H. Holbrook.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum boleh mengesahkan punca kematian Josephson.
Josephson sebelum itu dilaporkan tidak pulang ke asrama penginapan pelajar selepas keluar pada malam Jumaat lalu.
#Amerika Syarikat #CCTV #hilang #mangsa #mayat #polis #Samantha Josephson #siasatan #South Carolina #Uber
;