Pelajar anti-Israel tidak akan dihantar pulang - Mahkamah AS

Agensi
Mac 11, 2025 15:30 MYT
Ketika ini, Khalil sedang ditahan di kemudahan tahanan ICE Jena/La Salle di Louisiana ketika penunjuk perasaan mengadakan protes di bandar New York. - Foto Reuters
LOUISIANA: Seorang hakim Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah agar seorang pelajar Universiti Columbia berketurunan Palestin, Mahmoud Khalil tidak dihantar pulang buat masa ini.
Arahan penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada tindakan tegas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap beberapa penunjuk perasaan anti-Israel.
Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan perbicaraan kes itu bakal berlangsung pada Rabu.
Ketika ini, Khalil sedang ditahan di kemudahan tahanan ICE Jena/La Salle di Louisiana ketika penunjuk perasaan mengadakan protes di bandar New York.
Dalam pada itu, Peguam Negara dan Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika turut mengecam tindakan penahanan Mahmoud dan menyifatkan ia sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara.
Khalil, yang mempunyai status penduduk tetap yang sah ditangkap pada Sabtu, telah menjadi tokoh terkenal dalam gerakan protes pelajar pro-Palestin Universiti Columbia yang mencetuskan demonstrasi kampus di seluruh Amerika Syarikat dan di seluruh dunia tahun lalu.
Terdahulu, Trump melabelkan Khalil sebagai pelajar pro-Hamas radikal di media sosial.
Sementara itu, peguam Khalil menggesa mahkamah memerintahkan Khalil dikembalikan ke New York dan menuduh kerajaan cuba menghalang Khalil daripada mendapatkan akses kepada peguam dengan menghantarnya jauh dari New York.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #media sosial #Mahmoud Khalil
;