Peladang Australia kritik Qantas saji produk luar negara
Agensi
September 15, 2022 18:06 MYT
September 15, 2022 18:06 MYT
SYDNEY: Gara-gara menghidangkan keju dan snek berasas sumber bukan dari Australia, syarikat penerbangan Qantas dikritik oleh sekumpulan peladang tempatan.
Memetik laporan 1news, Ketua Eksekutif kumpulan peladang New South Wales, Peter Arkle mendakwa usaha Qantas menghidangkan snek keluaran New Zealand disifatkan tidak membawa semangat kenegaraan.
“Snek yang dihidang mengandungi keju yang bukan dari ladang tenusu Australia, sama juga dengan gandum di dalam snek juga bukan keluaran tempatan.
“Kami berharap sebagai syarikat penerbangan rasmi Australia, mereka menyokong penuh produk dan usaha peladang tempatan,” desak Arkle.
Tambah Arkle, pihak pengurusan Qantas seharusnya memandang berat isu ini dan mempertimbangkan untuk menyokong produk tempatan.
Dalam pada itu, jurucakap Qantas memaklumkan kepada media AAP bahawa dakwaan itu merupakan salah faham.
Qantas pada masa ini merupakan penyokong terbesar produk sektor pertanian di Australia dengan mendapatkan bekalan dari lebih 13,000 pembekal kecil tempatan.
Sebahagian besar makanan dan wain yang disajikan di dalam pesawat dan di ruang istirehat eksekutif datang dari ladang dan pengeluar Australia.
Sementara itu, Qantas turut menjemput kumpulan peladang untuk melihat senarai penuh pengeluar tempatan yang disokong syarikat berkenaan. -- Agensi