Pelaburan kesihatan tinggi hanya ketika wabak melanda - WHO

Astro Awani
September 18, 2020 06:47 MYT
Sebuah makmal di Pusat Perubatan Methodist Dallas sedang menyediakan ujian swab untuk COVID-19 di Dallas, Texas, AS, 24 Jun, 2020. Gambar fail REUTERS
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersiap sedia menghadapi wabak lain yang serupa selepas krisis COVID-19 berakhir.
Menurut Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, agensi itu melihat pola berulang dalam dana yang dikeluarkan untuk wabak ketika ia memuncak, namun tiada yang dibelanjakan untuk mencegah wabak berikutnya.
"Kajian dan laporan hanya berkesan sekiranya saranan yang terkandung di dalamnya dilaksanakan. Pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa seluruh dunia tidak bersedia.
"Bagaimanapun, dengan kerendahan hati dan kebersamaan, kita boleh merancang untuk jangka panjang dan melabur dalam kesihatan dan kesiapsiagaan.
"Ini bukan kerja amal. Ia satu pelaburan untuk masa depan kita bersama," katanya.
Dr Tedros menggesa semua negara untuk melabur dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan wabak.
Dalam pada itu, beliau turut menyalahkan kurangnya solidariti global dalam menangani wabak itu.
"Kuasa-kuasa besar dunia tidak bekerja bersama. Mereka sepatutnya bekerjasama sekiranya mereka mahu menunjukkan komitmen sebenar dalam menewaskan pandemik ini.
"Solidariti yang sebenar amat diperlukan. Ia perkara paling penting," tambahnya.
Sementara itu, WHO pada masa sama menyatakan, pandemik COVID-19 tidak akan hilang dan akan berada dalam masyarakat untuk jangka masa yang panjang.
Peringatan itu hadir ketika mana banyak negara menyaksikan peningkatan kes baharu virus itu.
Menurut Pengarah Program Kecemasan WHO Dr Michael Ryan, agensi dunia itu merekodkan pertambahan 1.82 juta kes di seluruh dunia dengan purata kematian antara 40,000 dan 50,000 kes setiap minggu.
Katanya, walaupun banyak negara optimis bahawa kematian akibat pandemik itu semakin menurun, masyarakat antarabangsa tidak boleh menganggap 50,000 kematian seminggu sebagai jumlah yang boleh diterima.
#dana #jangka panjang #kesihatan #koronavirus #pandemik #pelaburan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #siap siaga #solidariti global #Tedros Adhanom Ghebreyesus #wabak #WHO
;