Pelabuhan utama Sudan sesak, ribuan orang mahu berpindah demi keselamatan

Agensi
Mei 3, 2023 16:21 MYT
Selain menuju ke pelabuhan, orang awam turut berpusu-pusu menuju ke utara Sudan yang bersempadan dengan Mesir. - AP
KAHERAH: Ribuan rakyat tempatan dan warga asing kini bersesak di pelabuhan utama di Sudan pada Selasa, dengan harapan dipindahkan segera dari negara bergolak itu.
AP melaporkan, selepas lebih dua minggu pertempuran berlangsung, kebanyakan kawasan di ibu negara, Khartoum, semakin kosong ditinggalkan.
Pertempuran merebut kekuasaan tercetus sejak 15 April lalu, selepas berbulan-bulan ketegangan berlaku antara pihak tentera, yang dipimpin Jeneral Abdel-Fattah Burhan, dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), di bawah perintah Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo.
Banyak negara lain sudah cuba memujuk dua jeneral itu supaya menghentikan serangan dan beralih ke meja rundingan.
Kerajaan Sudan Selatan, yang secara rasmi berpisah dari Sudan pada 2011, berkata pada Selasa bahawa kedua-dua jeneral itu secara prinsip telah bersetuju terhadap gencatan senjata selama seminggu bermula Khamis lalu, dan akan memulakan rundingan damai.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan tentang lokasi dan masa rundingan itu dijalankan.
Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir telah bercakap dengan Nurhan dan juga Dagalo menerusi panggilan telefon, kata kenyataan pihak kerajaan. Bagaimanapun, belum ada sebarang maklum balas daripada kedua-dua jeneral itu.
Pada masa sama, orang awam sedang berhimpit menaiki bas dan lori untuk menuju ke utara Sudan yang bersempadan dengan Mesir.
Ramai juga yang berpusu-pusu ke pelabuhan negara di pesisiran Laut Merah. Sementara menunggu peluang untuk belayar meninggalkan Sudan, bandar di pelabuhan itu disifatkan lebih tenang berbanding di Khartoum.
#Sudan #rakyat berpindah #pelabuhan sudan #peperangan #Khartoum
;